24 Mac 2020.
Hari ini adalah hari ke-7 Malaysia melaksanakan social distancing bagi mencegah penularan wabak Novel Coronavirus 2019 yang menghantui hampir segenap pelosok dunia.
Sebagai langkah awal, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Ts Muhyiddin Yassin telah memberikan notis bahawa ini bukan darurat, sebaliknya hanya langkah untuk mengurangkan penularan wabak itu dalam kalangan rakyat di Malaysia.
Semasa entri ini ditulis, sebanyak 15 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan hampir 1500 lebih disahkan positif Covid-19.
Arahan sudah dilaksanakan. Namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih tidak bertanggungjawab untuk mengambil peranan dalam melaksanakan program social distancing ini. Sebahagian mereka enak bercuti ke luar negara lantaran harga tiket penerbangan yang jatuh merundum umpama nangka busuk. Tidak kurangnya juga ada yang mengambil inisiatif untuk bercuti dalam negara lantaran cuti yang dipanjangkan selama 14 hari.
Perlu diketahui, cuti 14 hari ini adalah masa untuk rakyat Malaysia mengkuarantinkan diri mereka dari pelbagai event yang terdedah kepada orang awam, bukan sebuah cuti yang harus diisi dengan keseronokan traveling. Bahkan, tentera juga di kerahkan bagi membantu tugas polis untuk memastikan orang awam tidak keluar daripada kawasan kediaman mereka melainkan darurat dan untuk membeli keperluan harian seperti makanan.
Persoalannya, apakah aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti kuarantin yang masih berbaki 7 hari ini?
1. Ganti Solat
Bagi mereka yang beragama Islam, mereka boleh memenuhi separuh daripada aktiviti harian mereka dengan melaksanakan Solat Qada'. Saya yakin, setiap antara kita mempunyai masa silam yang mana kita lagha dan dipenuhi dengan keasyikan duniawi. Ini adalah masa yang sesuai untuk kita menggantikan waktu solat fardhu yang pernah kita tinggalkan suatu masa lalu.
2. Baca Quran
Al-Quran adalah kitab pegangan umat Islam. Al-Quran ini diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail.
Saya yakin setiap pembaca mengetahui bahawa kita dapat memperoleh pahala dengan membaca Al-Quran. Ayat Al-Quran bukan seperti zikir yang mana kita tidak akan dapat pahala jika tidak memahami maksudnya. Sebaliknya, sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran namun tidak mengetahui maknanya, tetap akan mendapat pahala. Besar ganjarannya bagi kita umat Islam.
3. Membaca
Secara amnya, kita semua sedia maklum bahawa membaca adalah kunci kepada kejayaan sehingga ada pepatah mengatakan "Membaca Itu Jambatan Ilmu".
Dengan membaca, kita bukan sahaja dapat sesuatu ilmu bahkan kita dapat mengubah sebahagian besar kehidupan persekitaran kita. Di Jepun, ada satu ayat yang mengatakan "Orang Terhormat Bukan Lahir Dari Keluarga Kaya, Melainkan Keluarga Pembaca".
Jepun. Sebuah negara maju. Namun masih menitikberatkan soal penuntutan ilmu dan budaya membaca. Penulis pernah berkunjung ke negara matahari terbit ini pada sekitar musim sejuk yang lalu. Hotel tempat penulis menginap, yakni di Hotel Shinjuku gyeo-mae, terdapat bahan bacaan yang disediakan di ruangan menunggu. Hal ini menjadikan negara ini sebagai sumber inspirasi bukan sahaja kepada penulis sendiri, malah berpuluh penulis yang lain. Jadi, sepanjang tempoh kuarantin ini, rajinkanlah diri untuk membaca bahan bacaan yang berilmiah.
4. Membersihkan Rumah
Ini adalah perkara yang bagi penulis wajib dilaksanakan pada cuti kuarantin ini apatah lagi pada zaman penularan wabak Covid-19 ini. Inilah masanya untuk anda semua mencuci segenap ruang rumah anda menggunakan cecair pembasmi kuman.
Baru-baru ini, penulis sendiri telah melakukan proses disinfeksi di rumah induk penulis. Segenap ruang harus dibersihkan terutamanya ruangan dapur, pintu, meja makan dan paling utama, permukaan lantai.
Penulis juga telah mengubahsuai ruangan dapur penulis dengan meletakkan tuala bersih dan sabun pencuci tangan bagi ahli keluarga penulis menggunakannya. Kita semua sedia maklum bahawa antara langkah pencegahan wabak Covid-19 ini adalah dengan kerap mencuci tangan dengan sabun. Adapun menggunakan hand sanitizer, itu adalah sebagai optional.
Jadi, lakukan disinfeksi pada rumah anda, demi kesihatan dan kesejahteraan keluarga.
Maka, pesan penulis, rajinkanlah mengambil tahu info-info semasa terutamanya daripada platform yang dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bilik berita seperti TV3 dan sebagainya. Janganlah menyebarkan berita palsu mengenai wabak Covid-19 ini.
Semoga kita semua terhindar daripada penyakit ini, inshaa Allah.